Hujan Lebat Berterusan Akibat Banjir, Dua PPS Dibuka Di Kuching
KUCHING: Hujan lebat berterusan sejak awal pagi Selasa menyebabkan beberapa kawasan di Bahagian Kuching dilanda banjir sekali gus membawa kepada pembukaan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa terjejas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu laporan dipetik sebagai berkata, PPS Dewan R-Piang telah dibuka hari ini dengan menempatkan seramai 38 mangsa daripada tujuh Ketua Isi Rumah (KIR).
Sementara itu, PPS Dewan Stapok turut dibuka pada hari sama sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menempatkan mangsa banjir, namun jumlah KIR dan mangsa yang dipindahkan masih dalam proses pengemaskinian oleh pihak berkuasa.
Setakat ini, dua PPS beroperasi di Bahagian Kuching dengan jumlah keseluruhan tujuh KIR melibatkan 38 mangsa, manakala trend pemindahan mangsa dilaporkan meningkat susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan paras air di beberapa kawasan naik dengan cepat.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan semasa dan menasihati penduduk di kawasan rendah serta berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pemindahan sekiranya diperlukan.-EDISI UKAS
Gambar kredit: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak