Hasrat Penduduk Islam DUN Bukit Kota Tercapai, Surau Baharu Bakal Dibina
LIMBANG: Hasrat penduduk Islam di beberapa kampung dalam kawasan DUN Bukit Kota untuk beribadah dengan lebih selesa menjadi realiti selepas Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan pembinaan surau baharu, susulan hasil dikemukakan oleh Pusat Khidmat DUN Bukit Kota.
Surau baharu tersebut dibina bagi menggantikan surau sedia ada yang telah berusia, sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk untuk melaksanakan ibadah serta menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Menurut Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Kampung Limpaki bertuah kerana terpilih sebagai salah satu lokasi pelaksanaan projek pembinaan surau baharu tersebut.
“Pembinaan surau ini sebenarnya telah dirancang sejak tahun lepas melalui mesyuarat penyelarasan yang diadakan dan pada ketika itu pihak kontraktor menjangkakan ia dapat digunakan menjelang Hari Raya tahun ini.
“Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan semasa, projek ini dijangka siap sekitar Ogos tahun ini dan kita akan terus memantau perkembangannya,” katanya ketika berucap pada Program Badudun Ramadan Daerah Limbang yang diadakan di Surau Baitur Rahim Kampung Limpaki pada Isnin.
Tambah beliau, pihak pentadbiran daerah akan sentiasa bekerjasama rapat dengan kontraktor bagi memastikan sebarang isu yang timbul dapat ditangani segera selain memastikan projek berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.
Dalam program tersebut, seramai 10 orang asnaf dari Kampung Limpaki turut menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat DUN N.79 Bukit Kota.
Hadir sama wakil Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang, Abdul Rahman Iqbal Adli, Pemanca Sahat Bagol, Ketua Kampung Limpaki, Sumsudin Nagasi serta Pengerusi Surau Baitur Rahim Kampung Limpaki, Emran Usut.-EDISI UKAS