Perjalanan meredah hujan lebat pada hari kedua Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat memberi pengalaman menarik menelusuri jalan pesisir pantai yang mencabar.
Dari Kota Samarahan hingga ke Sarikei dan singgah ke pekan-pekan kecil seperti Asajaya, Sebangan dan Sebuyau memberi kesempatan untuk mendalami harapan dan jiwa penduduk kampung.
Di sesetengah tempat seperti selepas Pangkalan Feri Triso, usaha menaik taraf jalan sedang dilaksanakan sedikit sebanyak memerlukan tumpuan sepenuhnya menggendalikan kenderaan.
Namun kesempatan melihat sendiri projek-projek jambatan mega Kerajaan Sarawak yang telah siap dan sedang giat dibina, melahirkan rasa bangga dalam diri ahli kembara sebagai anak jati Bumi Kenyalang.
Salah satu daripada 17 projek jambatan mega yang dilalui pada hari kedua kembara ialah projek Jambatan Batang Lupar 1 yang bakal menjadi jambatan terpanjang di Malaysia dan dijangka siap pada tahun ini.
Jambatan sepanjang 4,844 meter itu kini telah siap lebih 90 peratus menghubungkan kawasan Sebuyau dan Samarahan yang akan memperkukuh jaringan perhubungan bandar dan luar bandar.
Projek yang menelan kos lebih RM800 juta ini merupakan antara projek infrastruktur ikonik Sarawak dan bukti komitmen Kerajaan Sarawak pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam meningkatkan infrastruktur di seluruh negeri.
Siapnya jambatan itu nanti yang mungkin dibuka pada Mei tahun ini akan mengakhiri penantian penduduk untuk menikmati erti sebenar pembangunan pesat Sarawak menuju aspirasi wilayah maju 2030.
Kira-kira 40 minit selepas Pangkalan Feri Triso, tersergam indah Jambatan Batang Saribas 1 yang telah siap sepenuhnya pada tahun lepas.
Jambatan sepanjang 1.55 kilometer yang dibina dengan kos RM375.5 juta itu banyak memberi manfaat terutamanya kepada penduduk Beladin dan Pusa dari aspek pendidikan, kesihatan dan ekonomi masyarakat setempat.
Jambatan itu turut berperanan sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Pan Borneo, menghubungkan kampung-kampung, sekolah dan klinik di kawasan Pusa dan Beladin.
Hasrat kembara menggunakan Feri Pusa-Sessang tergendala susulan perkhidmatan feri itu ditutup selepas jam 3.15 petang.
Difahamkan perkhidmatan feri tersebut bergantung kepada pasang surut air sungai.
Semuanya akan berakhir dengan siapnya projek Jambatan Sungai Krian nanti.
Jambatan sepanjang 690 meter itu dijadualkan siap pada tahun ini juga yang turut memberi manfaat besar kepada orang ramai khususnya penduduk setempat.
IMPAK USAHA PERTINGKAT AKSES JALAN RAYA
Sukar dinafikan jaringan jalan raya yang semakin baik di seluruh Sarawak
menjadi nadi kepada sosioekonomi masyarakat terutamanya bagi komuniti peniaga kecil.
Di Asajaya, Kota Samarahan, Pusat Penjaja MPKS Tambirat sering menjadi tumpuan orang ramai yang menggunakan jalan pesisir untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan dan juga hasil laut.
Usaha membina pusat penjaja tersebut bukan hanya memudahkan orang ramai singgah malah memberi keselesaan kepada penjaja yang sebelum ini berniaga di tepi-tepi jalan raya.
Bagi Rogayah Drahman, 54, dari Kampung Tambirat, dengan adanya jalan raya yang lebih baik, ramai pengunjung akan singgah di pusat tersebut terutamanya pada hujung minggu.
"Dengan adanya tempat ini, orang ramai lebih mudah untuk singgah membeli dan begitu juga kami peniaga lebih selesa jika dibandingkan sebelum ini yang berniaga di tepi jalan raya.
"Saya telah berniaga 18 tahun di tepi jalan raya dan baru tiga tahun berniaga di sini," ujarnya ketika ditemui Kembara UKAS.
Turut sependapat, Juliana Khalik, 39, yang turut dari Kampung Tambirat berkata, kawasan itu menjadi tumpuan kerana berada di lokasi strategik.
"Sebelum ini saya juga berniaga di tepi jalan raya dan berpindah ke sini dalam tiga tahun yang lepas.
"Sambutan memang menggalakkan daripada orang ramai kerana tempat ini mudah untuk dikunjungi, berada tidak jauh dari jalan utama," katanya.
Berkongsi pengalaman berniaga di tempat yang sama, Rabuan Bujeng dari Kampung Sambir berkata, beliau yang mengusahakan produk daripada nanas turut mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung yang singgah ke pusat penjaja tersebut.
"Yang penting kita ada menghasilkan produk.
"Pendapatan daripada perniagaan ini memang menggalakkan," ujarnya.
Pemilik Queen Pineapple SB itu kini menghasilkan produk baharu iaitu sabun daripada nanas selain menghasilkan produk lain seperti sambal nanas, tart/coklat nanas, nanas potong/jus nanas dan produk kecantikan.
Secara tidak langsung usaha beliau turut memberi manfaat kepada penduduk setempat yang lain kerana beliau mendapatkan buah nanas dari pengusaha kebun nanas di kawasan sekitar. - DEMI RAKYAT