Penghuni Dua Rumah Kebajikan Diraikan, Berbuka Puasa Bersama Premier Sarawak
KUCHING: Penghuni Kompleks Kebajikan Laila Taib (PERYATIM) dan Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching diraikan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Premier Sarawak anjuran Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Development Bank of Sarawak (DBOS).
Majlis pada Selasa itu diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada kedua-dua pusat kebajikan tersebut.
SDEC, CENTEXS dan DBOS masing-masing menyumbang RM10,000 kepada kedua-dua institusi berkenaan bagi menyokong kebajikan serta keperluan operasi rumah kebajikan tersebut.
Selain itu, seramai 40 kanak-kanak daripada kedua-dua institusi berkenaan, masing-masing 20 orang, turut diraikan dan menerima sumbangan duit raya pada majlis sama sebagai simbolik keprihatinan terhadap golongan memerlukan sempena bulan Ramadan.
Majlis yang menghimpunkan lebih 400 tetamu itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara kepimpinan kerajaan, agensi strategik serta rakan industri di Sarawak.
Antara yang hadir ialah Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif DBOS, Datu Laura Lee Ngien Hion.
Turut hadir ahli lembaga pengarah, ketua jabatan dan kakitangan daripada SDEC, CENTEXS dan DBOS selain wakil kementerian, jabatan serta agensi Kerajaan Sarawak. –EDISI UKAS