Bantuan Kerajaan Wajar Dihargai, SKAS Ringankan Beban Rakyat
PAKAN: Inisiatif kerajaan Sarawak meneruskan program bantuan melalui Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) membantu rakyat terutama di kawasan luar bandar menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pelaksanaan SKAS merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Menurut beliau, bantuan tersebut amat memberi manfaat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah kerana ia membantu mereka mendapatkan barangan keperluan harian.
“Bantuan seperti ini menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa memberi perhatian terhadap kesejahteraan rakyat.
“Kita seharusnya bersyukur dan menghargai segala usaha pemimpin yang berusaha memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran SKAS Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan di Dewan Masyarakat Pakan, pada Selasa.
Tambah beliau, walaupun Sarawak mempunyai jumlah penduduk yang lebih sedikit berbanding negeri lain, negeri ini kaya dengan sumber yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan dan kebajikan rakyat.
Melalui pelaksanaan program seperti SKAS, rakyat katanya berpeluang memastikan keperluan asas keluarga dipenuhi dengan mencukupi serta menjamin bekalan makanan sentiasa tersedia bagi setiap isi rumah.
Dalam pada itu, Tan Sri William Mawan turut mengingatkan para penerima agar menggunakan bantuan yang diberikan dengan penuh tanggungjawab serta tidak menyalahgunakannya untuk perkara yang tidak berfaedah.
Tegas beliau, bantuan tersebut sepatutnya dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan asas keluarga, bukannya ditukar atau dijual bagi tujuan lain yang tidak memberi manfaat.-EDISI UKAS