Bantuan Kerajaan Negeri Ringankan Beban Penduduk DUN Pakan
PAKAN: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan menyambut baik pelaksanaan inisiatif tersebut dan menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan masyarakat.
Program bantuan berkenaan diperkenalkan bagi memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat sokongan kewangan untuk menampung perbelanjaan asas harian seperti pembelian makanan, barangan dapur serta keperluan isi rumah.
Bagi suri rumah, Gadong Lima, 52, bantuan SKAS yang diterimanya amat membantu dalam menguruskan perbelanjaan harian keluarga.
Menurutnya, bantuan tersebut dapat digunakan untuk membeli pelbagai keperluan dapur sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.
“Saya amat berterima kasih kepada Premier Sarawak atas bantuan yang diberikan dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Sementara itu, Salleh Janting, 37, berkata inisiatif SKAS memberi manfaat besar kepada masyarakat terutama golongan yang kurang berkemampuan.
Menurutnya, bantuan tersebut sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh golongan terbabit dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sementara itu, Tuai Rumah Regina Angoi, 38, berkata beliau turut memainkan peranan membantu penduduk kampung yang memerlukan untuk membuat permohonan SKAS secara dalam talian atau melalui telefon.
Katanya, bantuan tersebut amat penting terutamanya kepada golongan warga emas yang kurang mahir menggunakan teknologi, sekali gus memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan.
Pelaksanaan SKAS membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan rakyat serta memastikan setiap golongan yang layak menerima bantuan sewajarnya.-EDISI UKAS