Regatta Betong 2026 Diperkasa Melalui Penyelarasan Rapi Jawatankuasa Penganjur
BETONG: Persiapan bagi penganjuran Regatta Betong 2026 terus diperkukuh menerusi Mesyuarat Penyelarasan Regatta Betong Edisi Tahun 2026 Bil. 4/2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Betong.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu yang turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara semua agensi terlibat bagi memastikan penganjuran acara sukan air berprestij itu berjalan lancar.
Jelasnya, Penaung bagi Jawatankuasa Regatta Betong 2026 ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dibantu oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu serta beliau sendiri.
Menurut beliau, komitmen bersepadu daripada semua pihak amat penting bagi memastikan Regatta Betong 2026 mampu dianjurkan dengan lebih tersusun serta menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan agar penganjuran Regatta Betong 2026 bukan sahaja berjalan lancar, malah mampu menarik kehadiran pengunjung yang ramai sekali gus merancakkan ekonomi setempat di Bahagian Betong,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut pada Isnin.
Regatta Betong merupakan antara acara sukan air dan pelancongan yang dinanti-nantikan setiap tahun, selain menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat serta mempromosikan potensi pelancongan tempatan.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan pelbagai aspek penyelarasan termasuk pengurusan acara, keselamatan, kemudahan infrastruktur, logistik serta promosi bagi memastikan penganjuran Regatta Betong 2026 berjalan dengan lebih teratur dan berimpak.
Turut terlibat dalam jawatankuasa pengelola ialah wakil daripada pelbagai agensi termasuk Pejabat Residen Betong, Betong Division Development Agency (BDDA), Pejabat Daerah Betong, Spaoh dan Debak, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Majlis Daerah Betong, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Pertanian serta beberapa agensi keselamatan dan komuniti setempat.
Penyelarasan berterusan ini diharap dapat memastikan Regatta Betong 2026 dianjurkan dengan lebih meriah serta memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi dan sektor pelancongan di Bahagian Betong.-EDISI UKAS