KUCHING: Seramai 15 golongan asnaf dari Kampung Kudei Baru menerima sumbangan Ihsan Ramadan sempena Program Jelajah Ramadan dan Ihsan Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok di Surau Darul Ihsan, di sini, pada Selasa.
Hadir menyempurnakan penyerahan sumbangan berkenaan ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki sebagai usaha membantu meringankan beban penerima dalam menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan.
Majlis berkenaan turut dihadiri penduduk setempat yang bersama-sama mengimarahkan surau dengan menunaikan Solat Isyak dan Solat Sunat Tarawih secara berjemaah bersama beliau.
Sejurus selesai solat, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan Ihsan Ramadan kepada para penerima yang terdiri daripada golongan asnaf Kampung Kudei Baru.
Selain itu, dalam majlis yang sama, Datuk Ibrahim turut menyampaikan sumbangan kepada pengerusi Surau Darul Ihsan dan Surau Al Iman bagi menyokong penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.
Program Jelajah Ramadan dan Ihsan Ramadan ini merupakan antara inisiatif tahunan beliau dalam mendekati masyarakat di kawasan Satok selain menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan komuniti setempat.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Abdul Samat Gany, Pengerusi Surau Darul Ihsan Sahdi Mat, Pengerusi Surau Al Iman Abang Ismail Abang Shamsamin, Ketua Kaum Kampung Kudei Baru Supardi Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Biro Agama Parti Pesaka DUN Satok Sharbini Buang serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS