LUBOK ANTU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu menganjurkan Program Gotong-Royong Penyediaan dan Agihan Bubur Lambuk sempena Ramadan 1447H bagi menyemarakkan bulan penuh keberkatan itu serta mengeratkan hubungan antara warga polis dan masyarakat setempat.
Sebanyak 300 bekas bubur lambuk berjaya disediakan dan diagihkan kepada setiap bahagian, cawangan serta balai di bawah IPD Lubok Antu selain kepada ahli PERKEP dan masyarakat setempat termasuk sekolah serta masjid sekitar daerah tersebut.
Program yang berlangsung di perkarangan Surau Al-Nazarene, IPD Lubok Antu itu bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 2 petang dengan penyertaan seramai 51 peserta terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, pegawai awam serta ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Lubok Antu.
Sepanjang program tersebut, para peserta bergotong-royong menyediakan bahan masakan, memasak dan membungkus bubur lambuk sebelum ia diagihkan kepada masyarakat.
Majlis perasmian agihan bubur lambuk telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Pricha Azin.
Dalam ucapannya, beliau berkata penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan menyemarakkan sambutan Ramadan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga IPD Lubok Antu dan komuniti setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengerusi PERKEP Daerah Lubok Antu, Christina Tajak. -EDISI UKAS