Sarawak-Perancis Teroka Peluang Pelaburan Bersama, Perkukuh Kerjasama Strategik Dalam Sektor Berkepentingan
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Abensour di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, pada Rabu.
Kunjungan hormat adalah untuk meneroka peluang pelaburan bersama antara Sarawak dan Perancis dalam usaha serta memperkukuhkan kerjasama strategik dalam beberapa sektor utama yang berkepentingan bersama.
Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkasa kerjasama dalam beberapa sektor strategik termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri maritim dan penerbangan, tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas merangkumi aktiviti huluan serta hiliran, selain teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Sektor-sektor ini selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi mampan, pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta pengembangan ekonomi digital.
Dalam pertemuan itu, Marc Abensour turut mengiktiraf kedudukan Sarawak yang semakin meningkat sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berteraskan teknologi tinggi dan mampan, disokong oleh sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah serta infrastruktur perindustrian yang kukuh.
Dengan persekitaran politik yang stabil, Sarawak katanya menawarkan keyakinan serta jaminan keselamatan pelaburan untuk jangka masa panjang ditambah dengan kedudukan strategiknya di Borneo sebagai pintu masuk ke pasaran komuniti ASEAN yang lebih luas.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Dato Fenny Nuli, Timbalan Kaunselor Ekonomi Bouthaina Harfi dan Kaunselor Kerjasama dan Hal Ehwal Kebudayaan di Kedutaan Perancis di Malaysia Thierry d’Anna. -EDISI UKAS