Kecekapan Pengurusan PPS Dipuji, Mangsa Banjir Terima Bantuan Mencukupi
KUCHING: Kecekapan pengurusan Pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Kawa dalam memastikan mangsa banjir menerima bantuan dan keperluan asas yang mencukupi sepanjang tempoh pemindahan dipuji.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau berpuas hati dengan pengurusan di dua PPS tersebut iaitu di Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi dan Dewan Stapok yang menempatkan seramai 90 keluarga melibatkan 340 mangsa dari kawasan kampung yang sama.
“Saya berpuas hati dengan pengurusan tempat ini hari ini. Saya nampak semuanya diatur dengan licin dan bekalan yang diperlukan juga disediakan dengan cukup,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke PPS tersebut pada Rabu.
Beliau menambah, keadaan di kedua-dua pusat pemindahan itu dilihat terurus dengan baik serta segala keperluan asas untuk mangsa turut disediakan mencukupi.
Jelas beliau, kerjasama erat antara agensi penyelamat serta masyarakat setempat turut memainkan peranan penting dalam memastikan proses pemindahan mangsa berjalan lancar.
Menurut beliau, walaupun terdapat golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dalam kalangan mangsa, perkara itu tidak menghalang usaha pemindahan kerana mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Ini menunjukkan semangat kerjasama yang kita galakkan apabila berlaku bencana seperti banjir. Mangsa memberi kerjasama yang baik apabila diarahkan untuk berpindah,” ujarnya.
Katanya lagi, operasi pemindahan yang bermula sekitar jam 1 pagi berjaya dilaksanakan dengan teratur hasil pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana yang semakin mantap.
Jelas beliau, operasi tersebut digerakkan dari peringkat Residen dan Pegawai Daerah dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkaitan lain.
“Semua agensi turun memainkan peranan masing-masing untuk memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat. Setakat ini kita bersyukur kerana tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.-EDISI UKAS