Datuk Mohamad Zainal Adakan Kunjungan Hormat Terhadap Datuk Amar Awang Tengah
KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Wisma Sumber Alam di sini pada Rabu.
Kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada siri pertemuan rasmi Datuk Mohamad Zainal terhadap kepimpinan tertinggi negeri ini sejak memegang jawatan tersebut pada 26 September 2025 menggantikan Dato Mancha Ata yang bersara.
Ketika ditemubual, beliau menyatakan bahawa ia merupakan amalan lazim bagi mana-mana pegawai yang baharu dilantik untuk bertemu dan memperkenalkan diri kepada pemimpin tertinggi negeri.
"Pertemuan pada hari ini memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan Timbalan Premier Sarawak yang juga wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri) di kawasan saya iaitu Bukit Sari.
"Alhamdulillah, sebelum ini saya telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Premier Sarawak serta Timbalan-Timbalan Premier Sarawak yang lain," katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas selesai kunjungan berkenaan.
Menjelas lanjut, Datuk Mohamad Zainal memberitahu, beliau turut berkongsi maklumat berhubung aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat sekali gus menyentuh mengenai kemudahan dan fasiliti untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di Lawas yang dilihat boleh ditingkatkan lagi demi memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Saya juga berkongsi pandangan berkaitan hal-hal keselamatan di Sarawak termasuk isu-isu tempatan di daerah Lawas seperti masalah dadah, jenayah serta beberapa perkara lain yang memerlukan perhatian bersama.
“Antara perkara yang turut dibincangkan ialah berkaitan fasiliti PDRM di Lawas yang boleh ditambah baik, dan Datuk Amar Awang Tengah boleh membantu memandangkan kawasan itu berada di bawah seliaan beliau,” tambahnya lagi.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan atas kesudian Datuk Amar Awang Tengah meluangkan masa menerima kunjungan tersebut.-EDISI UKAS