Mangsa Banjir Puji Layanan Agensi Di PPS, Hargai Layanan Baik
KUCHING: Meskipun berdepan detik cemas apabila rumah mereka dinaiki air secara mendadak, mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Stapok meluahkan rasa syukur atas layanan serta bantuan yang diberikan oleh agensi terlibat sepanjang tempoh pemindahan.
Seramai 66 mangsa banjir daripada beberapa kawasan sekitar Batu Kawa dipindahkan ke PPS tersebut selepas paras air meningkat dengan cepat sehingga menenggelamkan kawasan kediaman mereka sejak petang Selasa.
Penduduk dari Kampung Desa Wira serta kawasan perumahan sekitar terpaksa dipindahkan selepas air naik sehingga paras lutut, sekali gus menjejaskan kediaman dan harta benda mereka.
Mangsa banjir dari Kampung Desa Wira, Pinoh Ganin, 65, berkata beliau dipindahkan ke PPS pada petang Selasa selepas paras air meningkat dengan mendadak sehingga menenggelami rumahnya.
Menurutnya, kejadian tersebut menyebabkan sebahagian besar barangan di rumah rosak akibat ditenggelami air.
Sementara itu, seorang lagi mangsa dari kampung sama, Bujeh Sajin, 67, meluahkan rasa sedih apabila banyak barangan di rumahnya musnah akibat banjir.
Namun beliau tetap bersyukur kerana segala keperluan sepanjang berada di PPS dijaga dengan baik oleh pihak berkuasa.
“Saya berasa sedih kerana banyak barang di rumah rosak akibat banjir, tetapi bersyukur kerana layanan diberikan sepanjang berada di PPS sangat baik. Dari segi makanan dan tempat tinggal semuanya terjaga serta terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Rabu.
Dalam pada itu, Tr. Robert James, 54, dari Taman Desa Ria Batu Kawa berkata seramai 66 penduduk ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Stapok, tidak termasuk mangsa beragama Islam yang ditempatkan di PPS Dewan Sinar Budi.
Beliau berkata mangsa yang ditempatkan di Dewan Masyarakat Stapok terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Iban, Cina dan Bidayuh.
Menurutnya lagi, penduduk dijangka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada tengah hari Rabu sekiranya keadaan air terus menunjukkan tanda-tanda surut.
“Kami amat berterima kasih kepada semua agensi terlibat seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan pihak kesihatan kerana memberikan layanan terbaik kepada penduduk sepanjang berada di PPS ini,” katanya.
Beliau turut memuji kerjasama semua pihak yang memastikan kebajikan mangsa banjir terus terpelihara sepanjang tempoh pemindahan.-EDISI UKAS