200 Penerima disantuni Dalam Majlis Iftar Petronas Bersama Komuniti Merapok
LAWAS: Golongan memerlukan terus dibantu seiring dengan semangat mengimarahkan Ramadan menerusi Program Petronas Memacu Kehidupan Iftar Bersama Komuniti yang menyantuni seramai 200 penerima.
Program diadakan di Surau Raudhatus Salihin, Merapok pada Rabu itu bertujuan menyantuni masyarakat setempat selain menyemarakkan semangat Ramadan melalui pengukuhan nilai kebersamaan serta keprihatinan sosial dalam kalangan komuniti.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, AO Aminul Faidzrin yang mewakili Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.
Dalam ucapannya, beliau menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh Petronas yang disifatkan sebagai bukti komitmen berterusan syarikat tersebut dalam menyantuni komuniti di Merapok melalui penganjuran majlis berbuka puasa serta sumbangan barangan keperluan asas.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban masyarakat, malah mengukuhkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat sepanjang Ramadan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Operasi SSGP Petronas, Chin Wee Yang berkata program tersebut mencerminkan semangat keprihatinan serta kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian.
Menurutnya, Ramadan mengajar nilai kesederhanaan, kesabaran serta kepentingan saling membantu antara satu sama lain.
“Pada hari ini, seramai 200 penerima menerima sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, gula dan tepung yang diharapkan dapat membantu meringankan beban serta membuat persiapan sepanjang Ramadan,” jelasnya.
Program berkenaan turut diisi dengan ceramah agama bertemakan kesederhanaan yang disampaikan oleh Ustaz Amirul Hakim daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sebelum majlis diakhiri dengan solat berjemaah.
Turut hadir Safinah Kamri dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Clarence D. Primus Tiandun, wakil Polis Daerah Lawas, Temenggung, ketua-ketua kampung serta masyarakat setempat.-EDISI UKAS