Program MyLesen B2 dan T-ABC 2026 Dilancarkan di Miri
MIRI: Program “Kick Off Transport–Awareness Behavioural Change (T-ABC) dan MyLesen B2 Tahun 2026” peringkat Miri dilancarkan sebagai usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya serta membantu golongan muda mendapatkan lesen motosikal secara sah.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata program tersebut dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bersama beberapa agensi berkaitan bagi memastikan lebih ramai penunggang motosikal khususnya pelajar memiliki lesen yang sah.
Menurut beliau, inisiatif MyLesen B2 yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu mendapat sambutan baik dan berjaya membantu mengatasi isu pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen.
“Melalui program ini, kos sebenar mendapatkan lesen motosikal adalah sekitar RM750, namun di bawah program MyLesen B2 peserta hanya perlu membayar RM250 sahaja kerana baki kos disubsidi,” katanya kepada media selepas sesi perbincangan bersama agensi berkaitan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri pada Selasa.
Beliau memaklumkan, untuk tahun ini, program tersebut akan diperluaskan kepada semua sekolah menengah di daerah Miri dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 pelajar.
Permohonan akan dibuka mulai 11 Mac 2026 dan borang permohonan percuma akan diedarkan melalui Pejabat Pendidikan Daerah Miri kepada semua sekolah menengah.
Pelajar berumur 16 tahun ke atas yang menunggang motosikal ke sekolah digalakkan memohon sebelum borang tersebut dikembalikan kepada pihak sekolah untuk disalurkan kepada JPJ Miri yang bertindak sebagai sekretariat program.
Peserta yang berjaya kemudiannya akan mengikuti latihan memandu serta ujian lesen yang ditetapkan.
Program tersebut dilaksanakan melalui kolaborasi strategik antara MOTS dengan sokongan Pusat Khidmat ADUN Senadin, JPJ Negeri Sarawak, JPJ Cawangan Miri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Miri, Pejabat Pendidikan Daerah Miri serta Institut Memandu City Miri.
Selain latihan dan ujian lesen, peserta juga akan mengikuti taklimat khas mengenai keselamatan jalan raya yang melibatkan ceramah daripada pihak PDRM berkaitan peraturan lalu lintas dan operasi keselamatan jalan raya.
Turut terlibat ialah Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) yang akan berkongsi maklumat berkaitan punca kemalangan serta trend kemalangan jalan raya dalam kalangan belia.
Dato Sri Lee berkata program tersebut dijangka berlangsung selama tiga bulan dengan ujian praktikal dijangka diadakan pada Jun sebelum majlis penutupan program.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain 1,000 lesen diperuntukkan kepada pelajar sekolah, pihaknya juga merancang menyediakan 1,000 lagi lesen MyLesen untuk masyarakat umum sekiranya terdapat kekosongan selepas penyertaan pelajar.
Tambah beliau, kementeriannya juga bercadang menubuhkan inisiatif Rakan Keselamatan Jalan Raya yang melibatkan golongan muda sebagai duta keselamatan jalan raya bagi mempengaruhi rakan sebaya agar menjadi pengguna jalan raya yang lebih bertanggungjawab.
Usaha tersebut merupakan sebahagian komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kesedaran keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan khususnya dalam kalangan golongan muda.-EDISI UKAS