Program Ihya Ramadan Betong Semai Kesedaran Hidup Bebas Dadah
BETONG: Program Ihya Ramadan Sokongan Komuniti Prihatin, Takwa Iman-Hidup Bebas Dadah di Dewan Panglima Rentap di sini pada Rabu menjadi platform memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjauhi penyalahgunaan dadah di samping menyemarakkan pengisian Ramadan.
Program anjuran Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) MIDS Daerah Betong dengan kerjasama PEMADAM Daerah Betong itu turut menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan komuniti setempat melalui pengagihan bubur lambuk serta penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan memerlukan.
Seramai 15 penerima terdiri daripada klien dan komuniti setempat menerima sumbangan bakul makanan sebagai usaha membantu meringankan beban mereka sepanjang bulan Ramadan.
Penganjuran program tersebut juga diharap dapat terus memupuk semangat keprihatinan serta kerjasama erat antara agensi dan komuniti dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera serta bebas daripada pengaruh dadah.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh wakil dari Pusat Khidmat Betong yang mewakili Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Program yang berlangsung pada jam 1 tengah hari itu turut menghimpunkan komuniti setempat serta pihak agensi berkaitan dalam usaha memperkukuh jaringan sokongan sosial dan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.-EDISI UKAS