World #QuranHour 2026 Seru Masyarakat Hayati Al-Quran
SERIAN: Program World #QuranHour 2026 yang berlangsung di Masjid Darul Makmur di sini pada Rabu menghimpunkan kira-kira 600 peserta bagi menghayati mesej al-Quran serta memperkukuh pembinaan rohani dalam kalangan masyarakat.
Program anjuran Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Masjid Darul Makmur Serian serta rakan sinergi lain itu merupakan inisiatif penghayatan al-Quran bertaraf global yang mengajak masyarakat meluangkan masa selama satu jam untuk membaca, memahami dan merenung mesej al-Quran secara lebih mendalam.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh budaya celik al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Program tahun ini mengangkat tema “Membentuk Manusia Sebelum Membangun Dunia” dengan memberi tumpuan kepada Surah Al-Muzzammil, surah ke-73 dalam al-Quran yang menekankan kepentingan pembinaan kekuatan spiritual, disiplin diri serta keteguhan jiwa.
Antara pengisian utama program termasuk perkongsian bertajuk “Journey of Quran – Ibrah Surah Al-Muzzammil” oleh Muhammad Shaari Ab Rahman, Jurulatih Utama Tadabbur Centre Sdn Bhd.
Selain itu, bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 serta Surah Al-Muzzammil ayat 1 hingga 20 dipimpin oleh Mohd Safwan Mahli dari Guru Tahfiz Mattary.
Program tersebut turut menampilkan sesi tadabbur Surah Al-Muzzammil bersama Ustaz Muhammad Shaari Ab Rahman, Jurulatih Utama Tadabbur Centre Sdn Bhd.
Turut memeriahkan acara ialah persembahan qasidah oleh Madrasah Al-Khairat Kuching serta majlis penyerahan Wakaf Ilmu sebagai simbolik sokongan terhadap usaha memperluas penyebaran ilmu dan budaya membaca al-Quran dalam masyarakat.
Program itu berjaya menghimpunkan pelajar, penjawat awam, wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta masyarakat setempat dalam suasana penuh penghayatan sempena bulan Ramadan.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Islamic Information Centre, Tazudin Mohtar serta Ketua Pegawai Eksekutif Darul Hana Quranic Centre (DHQc), Majlis Islam Sarawak, Ustaz Mohamad Shalahudin Marzuki.-EDISI UKAS