Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Dua Kunjungan Hormat
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menerima dua kunjungan hormat di kediaman rasmi beliau di sini, pada Rabu.
Kunjungan pertama diketuai oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour yang hadir bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam beberapa sektor strategik.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri maritim dan penerbangan, tenaga boleh diperbaharui, industri minyak dan gas merangkumi aktiviti huluan serta hiliran, selain teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah isteri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Delegasi Perancis yang menyertai kunjungan berkenaan ialah Atase Pertahanan Kolonel Stefan Stefancic, Timbalan Kaunselor Ekonomi Bouthaina Harfi, Kaunselor Kerjasama dan Tindakan Kebudayaan Thierry d’Anna serta Kaunselor Perdagangan Jean-François Ambrosio.
Sementara itu, kunjungan hormat kedua pula diketuai oleh Mufti Sarawak yang baharu, Datu Khalidi Ibrahim.
Difahamkan, kunjungan tersebut bertujuan menzahirkan penghargaan atas perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak melantik beliau sebagai Mufti baharu negeri ini.
Dalam pertemuan itu juga, beliau turut mengambil kesempatan memohon nasihat serta pandangan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berhubung perjalanan dan pengukuhan institusi fatwa di negeri ini. -EDISI UKAS