CENTEXS Lawas Santuni 15 Keluarga Melalui Program Infaq Kasih Ramadan
LAWAS: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) menerusi Program Infaq Kasih Ramadan menghadiahkan kegembiraan kepada 15 keluarga dari kawasan Merapok dengan memberi sumbangan keperluan asas.
Program memasuki tahun ketiga penganjurannya yang diadakan di Dewan Serbaguna Merapok pada Rabu, mencerminkan komitmen berterusan CENTEXS Lawas dalam melaksanakan inisiatif kebajikan bagi membantu masyarakat setempat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan sepanjang bulan Ramadan.
Melalui inisiatif tersebut, keluarga yang terpilih menerima sumbangan barangan keperluan asas sebagai usaha membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Pada masa sama, program berkenaan turut menjadi platform untuk memupuk nilai keprihatinan serta semangat berkongsi rezeki dalam kalangan warga kerja dan pelatih CENTEXS Lawas.
Penglibatan mereka dalam aktiviti ini juga memberi peluang untuk menghayati nilai kesukarelawanan di samping memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan kemahiran itu dengan komuniti setempat.
CENTEXS Lawas berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat sepanjang Ramadan.-EDISI UKAS