Program Agihan Bubur Ramadan Erat Semangat Kebersamaan
KUCHING: Program pengagihan bubur sempena bulan Ramadan anjuran Badan Kebajikan Islam (BAKIS) Jabatan Pertanian Sarawak terus menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dan kebajikan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata program tahunan tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ramadan, malah mencerminkan nilai keprihatinan dengan berkongsi rezeki bersama masyarakat.
Menurut beliau, sebanyak 600 bungkus bubur iaitu bubur kacang hitam dan bubur durian diagihkan kepada pengunjung serta peniaga di Bazar Ramadan Kubah Ria.
“Program seperti ini amat bermakna kerana ia memberi peluang kepada kita untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengagihan Bubur Ramadan BAKIS di Bazar Ramadan Kubah Ria di sini pada Rabu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada BAKIS Jabatan Pertanian Sarawak atas komitmen berterusan melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan sepanjang tahun.
Tambahnya, badan tersebut memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan pegawai beragama Islam di jabatan berkenaan di samping aktif menganjurkan program kemasyarakatan termasuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa komitmen pegawai Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan amat penting dalam memastikan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian dapat direalisasikan.
Katanya, Sarawak menyasarkan untuk menjadi pengeksport bersih produk makanan menjelang tahun 2030 di samping meningkatkan pendapatan golongan petani kepada sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan.
Beliau menambah usaha tersebut selaras dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah agenda Post-COVID-19 Development Strategy 2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan ekonomi, keterjaminan makanan serta peningkatan kesejahteraan rakyat.
Selain pembangunan sektor ekonomi, kerajaan Sarawak juga terus memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan kelahiran, sokongan kesihatan serta bantuan keperluan asas kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata inisiatif seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang diperkenalkan kerajaan negeri turut membantu meringankan beban rakyat dengan penyaluran bantuan secara berperingkat kepada isi rumah, warga emas dan golongan bujang.
Majlis tersebut turut disertai pegawai Jabatan Pertanian Sarawak, ahli BAKIS serta pengunjung Bazar Ramadan Kubah Ria yang hadir memeriahkan program berkenaan.
Program agihan bubur tersebut merupakan antara aktiviti kebajikan tahunan BAKIS yang bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan serta memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS