139 Asnaf Sekitar Sebangan Terima Santunan Ramadan Parlimen Batang Lupar
SEBUYAU: Seramai 139 penerima asnaf dari lapan buah kampung sekitar Sebangan menerima sumbangan menerusi Program Santunan Ramadan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar yang berlangsung di Masjid Darul Aman Sebangan, pada Rabu.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Program tersebut dianjurkan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf dalam membuat persiapan sepanjang Ramadan serta menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan harapan agar program kebajikan seumpama ini dapat terus dilaksanakan bagi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara, khususnya kepada golongan yang memerlukan di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Program Santunan Ramadan tersebut turut diserikan dengan majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung yang hadir sekali gus menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat sepanjang bulan Ramadan.
Turut hadir Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau, Pemanca Asli Yahya, Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebangan, Penghulu Abdul Hamid Zaini serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Aman Sebangan, Yaman Madian.-EDISI UKAS