Premier Sarawak Imarahkan Majlis Khatam Al-Quran & Iftar Perdana Bersama Agensi Islam
KUCHING: Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Bersama Agensi Islam menambah keberkatan bulan mulia Ramadan yang diadakan di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, pada Rabu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut hadir mengimarahkan majlis tersebut yang turut disertai dif-dif kenamaan yang lain.
Majlis dimulakan dengan bacaan Khatam Al-Quran yang dimulakan oleh Premier Sarawak dengan ayat Ad-Dhuha sebelum bacaan takhtim Al-Quran.
Ia diteruskan dengan berbuka puasa dan menunaikan Solat Fardhu Maghrib sebelum jamuan makan malam dimulakan.
Usai jamuan, Premier Sarawak dan anakandanya, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari menyempurnakan penyerahan sumbangan duit raya kepada 50 orang asnaf dan mualaf dari bahagian Kuching dan Samarahan.
Seterusnya, para tetamu bergerak ke ruang solat untuk menunaikan Solat Fardhu Isyak dan diteruskan lagi dengan Solat Sunat Tarawih sebelum diakhiri dengan jamuan moreh.
Hadir sama, Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini