BPHB santuni 100 asnaf menerusi majlis iftar bersama ‘Stakeholder’
BINTULU: Seramai 100 golongan asnaf dari 17 kampung sekitar Bintulu menerima sumbangan menerusi majlis Jalinan Kasih Ramadan: Iftar Bersama ‘Stakeholders’ anjuran Yayasan Bintulu Port yang berlangsung di sini pada Selasa.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 bagi membantu persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Pengurus Besar Group Stakeholder Relations Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Maslihah Tioh berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan kemuncak program Jalinan Kasih Ramadan yang dianjurkan oleh Yayasan Bintulu Port sepanjang bulan Ramadan.
“Program ini bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara BPHB bersama para pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, rakan industri, pengguna pelabuhan serta komuniti setempat.
“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan BPHB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi kesejahteraan masyarakat di kawasan sekitar,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Pada majlis tersebut, Yayasan Bintulu Port turut menyumbangkan 50 set telekung kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Bintulu.
Selain itu, sumbangan sebanyak RM8,000 turut disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Bahagian Bintulu sebagai usaha menyokong kebajikan golongan berkenaan.
Majlis berkenaan turut dihadiri wakil agensi kerajaan, rakan perniagaan, pengguna pelabuhan, ketua masyarakat serta pengamal media yang bersama-sama memeriahkan majlis berbuka puasa tersebut.-EDISI UKAS