Tapak Projek PDK Bestari Siburan Diserah, Bakal Siap Dalam 18 Bulan
SIBURAN: Usaha memperkukuh kemudahan sokongan komuniti khususnya kepada golongan kurang upaya (OKU) terus diperkasakan apabila tapak projek pembinaan Pusat Jagaan dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bestari Siburan bernilai RM2 juta secara rasmi diserahkan pada Rabu.
Majlis penyerahan tapak projek yang berlangsung di Lorong Siburan Tengah C, Siburan Village itu melibatkan penyerahan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian kepada kontraktor yang dilantik.
Projek berkenaan dijangka memulakan kerja pembinaan pada April 2026 dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan.
Majlis penyerahan tapak tersebut turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari, wakil Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA), Ts. John Aten Pawang, Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap ADUN Mambong, Keron Mapus, serta Koordinator Projek GKCDA DUN Mambong, James Sinjeng selain wakil PDK Bestari Siburan.
Pusat yang bakal dibina itu dijangka dapat meningkatkan kemudahan jagaan serta pemulihan kepada golongan OKU di kawasan Siburan, sekali gus memperkukuh sistem sokongan komuniti dalam memastikan kesejahteraan serta pembangunan sosial masyarakat setempat.
Kemudahan tersebut juga dilihat mampu menyediakan persekitaran yang lebih kondusif bagi program latihan, terapi dan pembangunan potensi individu OKU agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih berdikari serta inklusif dalam masyarakat.-EDISI UKAS