PANTU: Cadangan pembinaan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Daerah Pantu terus diperkasakan apabila perkara tersebut dibincangkan dalam satu mesyuarat rasmi yang menghimpunkan pelbagai agensi berkaitan bagi meneliti keperluan serta langkah pelaksanaannya.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, pembinaan sekolah menengah di Pantu amat penting bagi memastikan pelajar di kawasan luar bandar mendapat akses pendidikan yang lebih mudah dan selesa.
“Pembinaan sekolah menengah di Pantu bukan sahaja memudahkan anak-anak di kawasan ini mendapatkan pendidikan menengah, malah akan menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Pejabat Daerah Pantu, pada Rabu.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Pantu, Raca Mulong, Superintendent Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Michaelsen Nisen, wakil Residen Bahagian Sri Aman, wakil Pejabat Datuk Snowdan Lawan, pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman dan Simunjan, serta wakil Pusat Khidmat Balai Ringin dan Bukit Begunan.
Dalam taklimatnya, Raca Mulong memaklumkan Pantu merupakan daerah baharu yang diisytiharkan secara rasmi pada 8 Oktober 2021, sekali gus menyaksikan peningkatan jumlah penduduk dan pelajar yang memerlukan kemudahan pendidikan menengah di kawasan tersebut.
Menurut beliau, pada masa ini pelajar dari Pantu terpaksa berulang-alik ke sekolah menengah di daerah berhampiran, sekali gus menimbulkan cabaran dari segi jarak perjalanan dan kemudahan pengangkutan.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk keperluan mendesak pembinaan sekolah menengah di Pantu, cadangan lokasi yang sesuai, penyediaan kemudahan infrastruktur sokongan serta tindakan susulan yang perlu diambil oleh pihak berkaitan.-EDISI UKAS