Penubuhan Jawatankuasa Komuniti PPR Landeh Perkasa Kerjasama Penduduk
KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Landeh dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh aspek keselamatan, keharmonian serta kesejahteraan sosial dalam kalangan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut mampu menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha membangunkan komuniti yang lebih tersusun, selamat dan harmoni.
“Jawatankuasa ini juga berperanan sebagai platform kepada penduduk untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam menangani pelbagai isu setempat seperti keselamatan, kebersihan serta kebajikan masyarakat,” katanya ketika menghadiri Majlis Pelantikan Jawatankuasa Komuniti PPR Landeh yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) pada Selasa.
Dengan kira-kira 500 keluarga menetap di PPR Landeh, penubuhan jawatankuasa ini diharap dapat memperkukuh semangat kejiranan serta memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan dan kesejahteraan kawasan perumahan.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa komuniti setempat sekali gus memastikan kesejahteraan penduduk sentiasa diberi perhatian.-EDISI UKAS