190 Penerima eKasih Di Sarawak Terima Bantuan Tunai Melalui Program Sejahtera MADANI
KUCHING: Seramai 190 penerima yang berdaftar dalam sistem eKasih menerima bantuan tunai menerusi Program Serahan Sejahtera MADANI Kembali Ke Sekolah (Rendah) dan Ziarah Kasih Ramadan.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, program tersebut melibatkan 65 murid sekolah rendah yang merupakan Ahli Isi Rumah (AIR) serta 125 Ketua Isi Rumah (KIR) yang turut berdaftar dalam sistem eKasih.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan adalah bersasar dan menepati golongan yang benar-benar memerlukan.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan, khususnya golongan eKasih yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Serahan Sejahtera MADANI Kembali Ke Sekolah (Rendah) dan Ziarah Kasih Ramadan di sini pada Rabu.
Menurut Dato Ahmad Nadzri, setiap murid sekolah rendah menerima bantuan wang tunai sebanyak RM200 sebagai sokongan kepada usaha meningkatkan akses pendidikan serta memberi dorongan kepada mereka untuk hadir ke sekolah dengan lebih bersemangat.
Tambah beliau, pendidikan di peringkat rendah merupakan asas penting dalam membentuk sahsiah, disiplin serta kecemerlangan akademik murid.
Sementara itu, menerusi Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ziarah Kasih Ramadan 1447H, setiap Ketua Isi Rumah menerima bantuan tunai sebanyak RM500 bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.
Tambahnya, pendekatan tersebut selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menitikberatkan nilai ihsan, kesejahteraan serta keyakinan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.-EDISI UKAS