Kerajaan Sarawak Perhebat Pengurusan Trafik Bandar, Tangani Kesesakan
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperhebat usaha memperkukuh pengurusan trafik bandar bagi menangani peningkatan kesesakan jalan raya susulan pertumbuhan pesat pembangunan bandar, pertambahan populasi serta peningkatan jumlah kenderaan di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, tekanan terhadap rangkaian jalan raya bandar kini semakin ketara terutama di laluan utama dan persimpangan sibuk di beberapa kawasan bandar di Sarawak.
Menurut beliau, berdasarkan statistik sehingga akhir tahun 2025, Sarawak merekodkan lebih dua juta kenderaan berdaftar, dengan majoritinya terdiri daripada kereta persendirian dan motosikal.
“Peningkatan berterusan pemilikan kenderaan persendirian ini memberi tekanan yang semakin ketara kepada rangkaian jalan raya di kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC) Bil.1/2026 di sini pada Rabu.
Tambah beliau, kesesakan trafik juga semakin jelas berlaku pada waktu puncak di beberapa laluan utama serta persimpangan besar, sekali gus berpotensi meningkatkan risiko keselamatan jalan raya.
Dalam masa sama, projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) merupakan inisiatif penting bagi memperkukuh sistem pengangkutan bandar dalam jangka panjang, namun pelaksanaannya mungkin memberi kesan sementara kepada aliran trafik sepanjang tempoh pembinaan.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pengurusan trafik bandar yang lebih berkesan dan terselaras melibatkan pelbagai agensi berkaitan.
Menurutnya, isu seperti kapasiti jalan raya, langkah mitigasi kesesakan, pengurusan tempat letak kereta, penggunaan sistem lampu isyarat pintar, kemalangan jalan raya serta langkah mitigasi memerlukan kerjasama rapat antara semua pihak berkepentingan.
Beliau menambah bahawa SUTMaC berfungsi sebagai platform penting yang menghimpunkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengendali pengangkutan, badan penguat kuasa serta agensi teknikal bagi berkongsi maklumat, menyelaras perancangan serta menangani isu pengurusan trafik bandar secara bersama.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Residen Bahagian dan wakil mereka, wakil pihak berkuasa tempatan dan majlis perbandaran, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta wakil Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, selain agensi berkaitan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datu Wong Hee Sieng, Timbalan Setiausaha Tetap MOTS, Mohamad Lotfi Tuah, serta pegawai kanan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS).
Dalam pada itu, Lee turut memaklumkan bahawa pada mesyuarat sebelum ini beliau telah menggesa Sarawak Multimedia Authority (SMA) bersama Kementerian Pengangkutan Sarawak merangka piawaian dan garis panduan bagi pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat Pintar Sarawak.
“Dengan input teknikal daripada SMA, Piawaian dan Garis Panduan Sistem Lampu Isyarat Pintar Sarawak telah dikeluarkan secara rasmi kepada kementerian dan agensi berkaitan pada Februari tahun ini,” katanya.
Dalam mesyuarat tersebut juga, wakil JSPT IPK Sarawak membentangkan taklimat mengenai statistik kemalangan jalan raya di Sarawak bagi membolehkan agensi berkaitan menganalisis trend kemalangan serta merangka strategi pengurusan trafik yang lebih berkesan.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan turut membentangkan perkembangan isu kesesakan trafik di kawasan masing-masing termasuk kemajuan langkah mitigasi serta projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Beliau menegaskan bahawa pengurusan trafik bandar yang berkesan amat penting bukan sahaja untuk meningkatkan pengalaman perjalanan harian orang ramai, malah bagi memastikan kelancaran operasi bandar serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
"Usaha menangani cabaran trafik bandar memerlukan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan melalui pengukuhan penguatkuasaan, pelebaran jalan, pembangunan laluan alternatif, pemasangan sistem lampu isyarat, penambahbaikan sistem pengangkutan awam, pengurusan tempat letak kereta serta peningkatan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat," jelasnya lagi.-EDISI UKAS