Dato Sri Fatimah Ziarah Pesakit Kanser Payudara, Perkukuh Kesedaran Pengesanan Awal di Sarawak
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah mengadakan lawatan ke Clinical Research Centre (CRC) di Hospital Umum Sarawak bagi meninjau usaha penyelidikan klinikal serta menyantuni pesakit kanser payudara sebagai sebahagian daripada inisiatif meningkatkan kesedaran kesihatan wanita.
Dalam lawatan tersebut, beliau berpeluang bertemu dengan seorang pesakit kanser payudara triple negative, Juliet Lau, 41, yang kini sedang menjalani rawatan kemoterapi.
Kisah perjuangan Juliet menonjolkan kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara, khususnya dari segi pengesanan awal serta akses rawatan yang saksama, terutamanya dalam kalangan wanita muda dan masyarakat di kawasan luar bandar.
Sebagai tanda solidariti dan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, seorang pejuang kesedaran kanser payudara, Dr. Melissa Lim yang juga ahli Sarawak Breast Cancer Support Group berikrar untuk mencukur rambut bersama Juliet dalam satu kempen pengumpulan dana.
Kempen tersebut menyasarkan kutipan sebanyak RM30,000 bagi menyokong program pendidikan kesihatan payudara yang akan diperluaskan ke kawasan luar bandar, komuniti kurang mendapat perkhidmatan kesihatan serta golongan terpinggir di seluruh Sarawak.
Melalui kempen ini, lebih ramai wanita diharap dapat mengenali tanda-tanda awal kanser payudara dan mendapatkan rawatan perubatan pada peringkat awal.
Beliau berkata, pertemuannya dengan Juliet merupakan pengalaman yang sangat bermakna serta memberi inspirasi kepada usaha memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai penyakit itu.
“Juliet ialah seorang wanita muda yang menghadapi kanser payudara dengan kekuatan dan ketabahan luar biasa.
“Kisah beliau mengingatkan kita bahawa kanser payudara boleh menjejaskan wanita pada sebarang usia dan kesedaran awal serta tindakan mendapatkan rawatan perubatan tepat pada masanya amat penting,” katanya pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan Sarawak komited untuk terus memperkukuh sokongan kepada wanita dan keluarga yang terkesan akibat kanser serta memastikan akses kepada rawatan kesihatan dapat dinikmati oleh semua, tanpa mengira lokasi sama ada di bandar mahupun di kawasan luar bandar.
Sementara itu, beliau turut memuji peranan kumpulan sokongan komuniti seperti Sarawak Breast Cancer Support Group yang aktif membantu meningkatkan kesedaran serta memberi sokongan kepada pesakit sepanjang perjalanan rawatan mereka.
“Apabila komuniti, penyedia penjagaan kesihatan dan pembuat dasar bekerjasama, kita mampu merapatkan jurang dalam penjagaan kanser serta memberi peluang kepada setiap wanita untuk mendapatkan pengesanan awal dan harapan untuk sembuh,” ujarnya.
Antara fungsi utama CRC termasuk menjalankan penyelidikan klinikal, menyokong pelaksanaan kajian perubatan, menyediakan kemudahan penyelidikan moden, melaksanakan latihan serta pembangunan kapasiti, selain memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang penyelidikan kesihatan.
Usaha tersebut sekali gus membuktikan komitmen pihak hospital dalam menghasilkan pengetahuan baharu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat Sarawak, malah kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Beliau dijadual menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung dan Persidangan Saintifik ke-13 Asia Pacific Organization for Cancer Prevention (APOCP) 2026 yang akan berlangsung di Kuching.
Kisah keberanian Juliet turut mencerminkan matlamat lebih besar persidangan tersebut, iaitu memastikan tiada wanita tercicir daripada mendapat peluang pengesanan awal dan rawatan sewajarnya.-EDISI UKAS