UTS Meterai MoU Dengan Timetablehub Technology, Perkukuh Kerjasama Inovasi Digital
SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat teknologi tempatan, Timetablehub Technology Sdn Bhd sebagai langkah strategik memperkasa ekosistem inovasi digital serta memperkukuh kerjasama antara institusi akademik dan industri.
Naib Canselor UTS, Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah penting dalam merapatkan jurang antara akademik dan industri, khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi digital.
"Hari ini menandakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara akademik dan industri, terutamanya dalam bidang Teknologi Maklumat dan inovasi digital.
“Objektif utama MoU adalah untuk menggabungkan kekuatan kedua-dua organisasi bagi membangunkan penyelesaian digital yang bermakna serta mencipta peluang pembelajaran baharu,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani MoU tersebut di Dewan Senat, UTS pada Rabu.
Beliau menambah, kerjasama ini merangkumi empat bidang utama iaitu pembangunan perisian digital, kolaborasi teknikal melibatkan staf IT, pembangunan kapasiti kakitangan, serta latihan industri untuk pelajar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Timetablehub Technology Sdn Bhd, Muhammad Rafiq Muhammad menyatakan, kolaborasi ini merupakan satu pencapaian baharu bagi syarikatnya yang telah bertapak sejak tahun 2007.
Ujarnya, Timetablehub telah berkhidmat kepada lebih 60 institusi pengajian tinggi di seluruh negara dengan menggunakan teknologi buatan tempatan sepenuhnya yang dibangunkan oleh anak watan Malaysia.
"Apa yang bermula sebagai hubungan perkhidmatan kini berkembang menjadi perkongsian yang lebih luas yang berfokus pada inovasi, kerjasama, dan pembangunan bakat," ujarnya.
Majlis itu menandakan peralihan hubungan kedua-dua pihak daripada penyediaan perkhidmatan kepada rakan kerjasama strategik yang memfokuskan kepada pembangunan bakat dan penyelesaian teknologi maklumat. -EDISI UKAS