KUCHING: Festival WAK berpotensi diperluaskan ke Bintulu dan kawasan lain di Sarawak sebagai sebahagian usaha membangunkan rangkaian platform kreatif berasaskan komuniti di seluruh negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan WAK sejak diperkenalkan di Kuching pada 2017 menunjukkan konsep tersebut mampu berkembang apabila dibangunkan bersama komuniti.
Menurut beliau, perkembangan itu turut dapat dilihat menerusi penganjuran WAK Sibu dan Miri yang kini masing-masing memasuki edisi ketiga serta mendapat sambutan menggalakkan dalam komuniti masing-masing.
"Setiap bandar membangunkan identiti dan tenaga kreatif tersendiri, sambil kekal terhubung dengan platform Sarawak yang lebih besar.
"Oleh itu, saya berbesar hati mengetahui bahawa pihak penganjur bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak sedang meneroka kemungkinan untuk membawa WAK lebih jauh, termasuk penganjuran edisi berpotensi di Bintulu dan kawasan lain," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis pelancaran festival pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, perkembangan WAK mampu mewujudkan peluang yang melangkaui penganjuran festival termasuk menghubungkan komuniti kreatif antara bandar, menyediakan platform baharu untuk artis dan penggiat persembahan serta mengaktifkan venue dan ruang awam.
Justeru katanya, Kerajaan Sarawak melihat WAK bukan sekadar sebagai kalendar acara, tetapi sebahagian daripada ekosistem kreatif yang lebih besar.
Menurutnya lagi, setiap peluang yang diberikan kepada artis, pemuzik dan usahawan kreatif, termasuk menerusi persembahan, pasaran serta kerjasama, turut menyumbang kepada pengukuhan ekonomi kreatif Sarawak.
"Ketika WAK memasuki fasa seterusnya, saya menggalakkan pihak penganjur supaya lebih bercita-cita tinggi. Kukuhkan hubungan antara Kuching, Sibu dan Miri.
"Terokai Bintulu dan komuniti lain apabila tiba masanya. Bangunkan lebih ramai bakat Sarawak. Wujudkan kerjasama serantau dan antarabangsa yang lebih kukuh serta cipta laluan yang mampu membawa penggiat kreatif kita melangkaui sempadan Sarawak," ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim