Sarawak Rangka Model Perumahan Golongan M40 Untuk Bandar Utama
BALINGIAN: Kerajaan Sarawak sedang merangka model perumahan mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan pertengahan (M40), dengan Bintulu dipilih sebagai lokasi projek rintis sebelum pendekatan itu diperluas ke kawasan bandar lain.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kajian berkenaan meliputi jenis rumah dan julat kos yang bersesuaian supaya golongan M40 turut mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri.
“Memang kita sekarang sedang mengkaji bagaimana kita hendak membangunkan rumah untuk golongan M40 dan kita sekarang membuat perkiraan, jenis rumah dan juga kos, dalam julat harga yang mampu dibeli oleh mereka, supaya mereka juga berpeluang memiliki rumah,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke lokasi Rumah Spektra Permata (RSP) SPK Balingian dan simbolik penyerahan kunci rumah kepada pemilik baharu, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, Bintulu dipilih sebagai projek rintis kerana permintaan terhadap perumahan dalam kalangan golongan M40 di kawasan berkenaan semakin ketara, termasuk dalam kalangan pekerja berpendapatan lebih tinggi dan golongan eksekutif.
“Sekarang ini, kita akan melaksanakan projek perintis di Bintulu kerana kawasan itu turut menghadapi isu perumahan bagi golongan M40.
“Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai pendapatan agak tinggi, termasuk golongan eksekutif, tetapi masih memerlukan rumah yang sesuai. Jadi, kita akan menyediakan formula yang bersesuaian,” ujar beliau lagi.
Menurut Premier Sarawak, sekiranya projek rintis itu berjaya menghasilkan model perumahan pada julat harga yang mampu ditanggung M40, pendekatan berkenaan akan dipertimbangkan untuk diperluas ke kawasan bandar utama lain termasuk Kuching, Miri dan Sibu.
Bagaimanapun, beliau berkata antara cabaran utama yang perlu ditangani ialah kos tanah yang tinggi serta keterbatasan kawasan baharu untuk pembangunan berikutan sesetengah kawasan bandar semakin padat.
Bagi pelaksanaan projek rintis tersebut, dua lokasi dikenal pasti di Bintulu iaitu di kawasan Jepak serta sebuah kawasan berhampiran Kampung Nyalau, berdekatan Samalaju. -EDISI UKAS