Malam Budaya Sarawak Semarakkan SKS Bahagian Mukah
MUKAH: Kepelbagaian seni dan warisan budaya masyarakat Sarawak mewarnai Malam Budaya Sarawak sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah yang berlangsung di Dataran Pehin Setia Raja, di sini pada Jumaat.
Persembahan Malam Budaya Sarawak Sempena Program Sarawakku Sayang 2026 turut dijayakan oleh kumpulan dan Persatuan kebudayaan Tempatan Sarawak, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Majlis Seni Sarawak (MSS).
Antara artis tempatan yang mengambil bahagian ialah Mariani, Nizam, Sazia, Harris, Mukah Buskers, Karen Libau dan Ricky Andrewson yang menghiburkan pengunjung menerusi persembahan muzik dan nyanyian.
Kepelbagaian budaya Sarawak turut diketengahkan menerusi persembahan tarian Melanau oleh Sri Ritma Borneo Mukah, tarian Iban oleh Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Mukah serta tarian Bidayuh oleh Warisan Permata Seni Politeknik Mukah.
Selain itu, Kelab Tarian Naga dan Tarian Singa Medan Setia Raja Mukah mempersembahkan tarian singa, manakala Artis Tari Majlis Seni Sarawak menampilkan Tarian Sarawakku Sayang.
Kemuncak persembahan turut diserikan dengan celoteh bertenaga pengacara DJ Sonic dan Ajerie Aku yang menceriakan suasana serta menghiburkan pengunjung sepanjang program berlangsung.
Acara finale menyaksikan persembahan gendang bermukun oleh Kumpulan Gemersik Gendang Kampung Baru Daro yang mengetengahkan keunikan seni muzik tradisional masyarakat tempatan.
Suasana semakin meriah apabila tetamu kehormat dan tetamu kenamaan lain turut menyertai tarian poco-poco yang diiringi lagu Bekikis Bulu Betis, sekali gus menutup tirai Malam Budaya Sarawak dengan penuh kemeriahan.
Semua persembahan pada malam berkenaan dilaksanakan di bawah seliaan Majlis Seni Sarawak sebagai usaha mengetengahkan bakat artis tempatan serta memperkenalkan kepelbagaian seni dan budaya Sarawak kepada masyarakat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Timbalan Residen Bahagian Mukah, Badjuri Bidin, Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Dr Suffian Jalet serta wakil MTCP, Dayang Morzanah Awang Hadi. -EDISI UKAS