Reka Bentuk Pra-Lulus HDC Beri Fleksibiliti Perluas Rumah SPK
BALINGIAN: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak menyediakan reka bentuk pra-lulus bagi rumah Skim Pembesaran Kampung (SPK), membolehkan pemilik memperluaskan kediaman mereka pada masa hadapan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, reka bentuk tambahan itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan, sekali gus memberi pilihan kepada pemilik untuk mengembangkan rumah tanpa perlu memulakan proses reka bentuk dari awal.
“Pihak HDC menyediakan satu lagi reka bentuk. Kalau mereka ada rezeki untuk membesarkan rumah, sudah ada reka bentuk yang disediakan dan ini sudah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke lokasi Rumah Spektra Permata (RSP) SPK Balingian dan simbolik penyerahan kunci rumah kepada pemilik baharu, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, pelaksanaan reka bentuk berkenaan memberi fleksibiliti kepada pemilik untuk menambah ruang kediaman apabila keadaan kewangan dan keperluan keluarga mengizinkan.
“Kalau dikembangkan lagi, dibangunkan, itu memang tambahan dia terpulang kepada pemilik rumah. Tapi yang penting ialah kita ada bangunannya sendiri,” katanya.
Tambah beliau lagi, pendekatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menyediakan rumah yang bukan sahaja mampu dimiliki, malah mempunyai potensi untuk disesuaikan dengan keperluan pemilik dalam jangka panjang.
Pendekatan pembangunan perumahan sedemikian, katanya, turut dilaksanakan di beberapa kawasan lain termasuk Dalat, Kabong, Santubong dan Kampung Sambir, dengan penglibatan agensi seperti HDC dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata pendekatan pembangunan SPK kini turut berubah daripada sekadar menyediakan lot tanah kepada pembangunan kawasan secara menyeluruh dengan kemudahan asas sebelum rumah dibina.
Di Balingian, kos keseluruhan rumah termasuk tanah dianggarkan sekitar RM300,000, namun pemohon hanya perlu membayar RM150,000 kerana baki kos ditanggung Kerajaan Sarawak.
Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan deposit RM10,000, manakala baki RM140,000 boleh dibiayai melalui Mutiara Mortgage & Finance.
Difahamkan, pemohon dijangka membayar sekitar RM200 hingga RM300 sebulan bergantung kepada umur serta tempoh bayaran balik pembiayaan.
Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memudahkan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki tanah dan rumah sendiri tanpa dibebani kos pembangunan keseluruhan.
Untuk rekod, sebanyak 22 unit RSP SPK di Balingian telah siap dibina dengan 32 unit lagi bakal dilaksanakan pada masa hadapan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS