282 Projek Naik Taraf Jalan Dilaksana Di Pujut Sejak 2022
MIRI: Sebanyak 282 projek naik taraf dan penyelenggaraan jalan telah dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut sepanjang 2022 hingga 2026, melibatkan jarak keseluruhan 29.56 kilometer dengan peruntukan RM11.1 juta.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, pelaksanaan projek berkenaan dilaksanakan secara berperingkat setiap tahun bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur dan keselesaan penduduk.
Beliau berkata, pada 2022 sebanyak 26 projek melibatkan jarak 8.38 kilometer dilaksanakan dengan peruntukan RM2.4 juta, diikuti 48 projek sepanjang 6.95 kilometer pada 2023 dengan kos RM2.776 juta.
“Pada 2024, sebanyak 81 projek dilaksanakan melibatkan 4.94 kilometer dengan peruntukan RM1.9 juta, manakala pada 2025 sebanyak 113 projek sepanjang 4.19 kilometer dengan kos RM2.13 juta.
“Bagi 2026 pula, sebanyak 14 projek melibatkan jarak kira-kira lima kilometer sedang dilaksanakan dengan peruntukan RM1.9 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Pujut di Pusat Khidmat Masyarakat Pujut, di sini pada Sabtu.
Menurut Adam, kesinambungan pelaksanaan projek berkenaan menunjukkan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan Pujut dilaksanakan secara berterusan berdasarkan keperluan serta perancangan tahunan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap penyalahgunaan media sosial termasuk penggunaan akaun palsu, akaun tanpa identiti, kandungan kecerdasan buatan (AI) yang dimanipulasi dan pembulian siber.
Beliau berkata, masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam menilai kandungan media sosial bagi mengelakkan ahli keluarga dan rakan-rakan daripada terpengaruh dengan maklumat yang dimanipulasi.
Adam turut menggesa pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya memantau kandungan sedemikian secara proaktif dan adil bagi menangani penyalahgunaan media sosial.
Pada majlis sama, sebanyak RM41,000 melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Pujut disalurkan kepada 15 persatuan dan organisasi bagi menyokong pelbagai aktiviti serta keperluan komuniti setempat.
Antara penerima ialah Piasau Link Traditional Archery Club, Speed Chasers Motorsports Club, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Piasau Utara, Lembaga Amanah Khairat Cina Miri, Kelab Rekreasi Inovatif Miri (KRIM), Pejabat Pendidikan Daerah Miri serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Miri.-EDISI UKAS