Petugas Barisan Hadapan KPWK Digesa Fahami Semua Inisiatif Kementerian
KUCHING: Petugas barisan hadapan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) digesa meningkatkan tahap kepekaan serta kefahaman terhadap semua inisiatif kementerian bagi memastikan setiap bantuan dan perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih efektif kepada masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahreraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kakitangan di setiap jabatan perlu lebih arif tentang bantuan-bantuan yang disediakan termasuk di luar bidang mereka, selagi ianya tertakluk di bawah inisiatif kementerian.
“Petugas barisan hadapan perlu mempunyai pengetahuan yang luas mengenai perkhidmatan yang disediakan kerana orang ramai yang datang akan mengemukakan pelbagai pertanyaan, bukan hanya berkaitan dengan perkara di bawah seksyen tertentu sahaja.
“Oleh itu, petugas perlu bersedia untuk menjawab setiap soalan yang diajukan. Sekurang-kurangnya, mereka perlu mengetahui pihak atau bahagian yang sepatutnya dirujuk sekiranya perkara tersebut di luar bidang mereka,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi Townhall KPWK di PUSTAKA Sarawak, di sini, pada Rabu.
Jelasnya lagi, petugas tidak seharusnya sekadar mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui sesuatu perkara kerana ia diuruskan oleh seksyen lain kerana pendekatan sedemikian tidak mencerminkan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, Dato Sri Fatimah menegaskan bantuan barisan hadapan ketika ini amat penting lebih-lebih lagi dalam peralihan kementerian ke arah digital, yang sedikit sebanyak menyukarkan klien khususnya yang tinggal di pedalaman dan warga emas untuk mendapatkan akses penuh kepada inisiatif-inisiatif KPWK.
“Masih terdapat sekumpulan kecil, atau mungkin juga sekumpulan yang signifikan, dalam kalangan mereka yang menghadapi masalah dari segi permohonan, seperti secara dalam talian, bagi pelbagai perkhidmatan yang kita sediakan dan kita benar-benar perlu berada di sana untuk membantu mereka,” ujar beliau lagi.
Dalam majlis itu juga, beliau turut menyampaikan bantuan kepada lapan penerima yang layak termasuk Bantuan Ibu Bersalin, Bantuan Perubatan, Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak dan Geran Model Pemerkasaan Wanita Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Salmah Jobeli, Timbalan Setiausaha Tetap KPWK Kathreen Lalai Eddie Saga dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Norhayati Abdul Rahman. -EDISI UKAS