Sarawak Peroleh 160 Acara Perniagaan 2025, Jana Impak Ekonomi RM483.5 Juta
SIBU: Sarawak berjaya memperoleh sejumlah 160 acara perniagaan pada tahun lalu yang menjana impak ekonomi sebanyak RM483.5 juta.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak (BESarawak) Jason Tan Chin Foo berkata, pencapaian itu adalah hasil kerjasama erat rakan industri yang memainkan peranan penting dalam membentuk impak industri acara perniagaan di Sarawak serta menyumbang kepada pembangunan industri berkenaan di Malaysia secara keseluruhan.
“Dengan sokongan rakan-rakan kerjasama, Sarawak berjaya memperoleh 160 acara perniagaan tahun lalu yang menjana impak ekonomi sebanyak RM483.5 juta.
“Namun yang lebih penting ialah kesan jangka panjang daripada penganjuran acara tersebut termasuk pemindahan ilmu kepada komuniti di Malaysia, sekali gus memperkukuh industri negara serta membantu mewujudkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada negara,” katanya dalam Majlis Iftar BESarawak ‘Satu Meja, Seribu Cerita’ yang diadakan di sini pada Selasa.
Menurut Jason, tahun ini turut menandakan ulang tahun ke-20 penubuhan BESarawak dan sempena pencapaian itu beberapa inisiatif baharu diperkenalkan bagi memperkasakan penganjuran acara yang lebih berimpak.
Antaranya ialah Program Mobiliti Akademik atau 'Study Groups' yang melibatkan lawatan pembelajaran dan lawatan teknikal yang diketuai universiti di Sarawak.
Ujar beliau, program itu bertujuan memperkukuh hubungan antara pihak akademia, industri serta keutamaan pembangunan tempatan.
Selain itu, BESarawak turut memperkenalkan pakej baharu Sarawak Business Events Fund iaitu insentif berperingkat untuk kumpulan antara 25 hingga 149 delegasi dengan pembiayaan antara RM7,000 hingga RM40,000.
“Sokongan pembiayaan turut dipertingkatkan dengan memasukkan lebih banyak komponen sokongan bagi memudahkan penganjur melaksanakan acara untuk kumpulan yang lebih kecil,” ujarnya.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Jenny Ting Hua Hung dan Kaunselor Kiing Teck Ho.-EDISI UKAS