Program SKAS Serlah Nilai Inklusiviti Kerajaan Sarawak
MERADONG: Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) salah satu usaha penting Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup pada masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan di Sarawak bersifat inklusif serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Bantuan seperti SKAS ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban rakyat, malah mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.
“Sebagai wakil rakyat bagi DUN N.46 Meradong, saya amat berbesar hati kerana program ini dapat dilaksanakan di kawasan ini dan berharap bantuan yang disalurkan dapat membantu para penerima memenuhi keperluan asas harian serta memberi sedikit kelegaan kepada keluarga yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 Peringkat DUN N.46 Meradong yang diadakan di G-Mart Bintangor, pada Rabu.
Bagi tahun 2026, program SKAS masih mengekalkan kategori penerima seperti tahun sebelumnya iaitu isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah yang akan menerima bantuan sebanyak RM950 setahun, warga emas tanpa pasangan menerima RM500 setahun, manakala golongan bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah menerima RM300 setahun.
Bantuan di bawah inisiatif SKAS ini akan disalurkan secara berperingkat bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati golongan yang layak di seluruh Sarawak.
Penyaluran bantuan tersebut akan dilaksanakan dalam tiga peringkat iaitu pada Mac, Mei dan November tahun ini.
Bagi kategori isi rumah, pada peringkat pertama dan kedua setiap penerima akan menerima RM316 manakala pada peringkat ketiga sebanyak RM318, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM950 setahun.
Bagi kategori warga emas pula, penerima akan menerima RM166 pada peringkat pertama dan kedua serta RM168 pada peringkat ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM500 setahun.
Manakala bagi kategori bujang, bantuan sebanyak RM100 akan disalurkan pada setiap peringkat menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM300 setahun bagi setiap penerima.
Dalam pada itu, semakan kelayakan SKAS telah dibuka bermula 7 Mac 2026 dan Datuk Ding berharap mereka yang layak dapat membuat semakan serta tuntutan bagi memanfaatkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak ini.
Sehubungan itu, beliau berharap program seumpama ini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara serta kesejahteraan masyarakat terus diperkukuhkan. -EDISI UKAS