SRI AMAN: Pendekatan santai melalui pengagihan bubur pedas dan aktiviti berjalan sambil menyampaikan mesej pencegahan dadah berjaya menyemarakkan kesedaran masyarakat dalam Program Pengagihan Bubur Pedas dan ‘Walking Message Anti Dadah dan Substance’ Daerah Sri Aman 2026 yang berlangsung di perkarangan Pejabat Daerah Sri Aman, pada Rabu.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama Jawatankuasa OSC MIDS Daerah Sri Aman dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Sri Aman.
Inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang melalui pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan komuniti setempat.
Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, sebanyak 100 beg PEMADAM yang mengandungi risalah maklumat pencegahan dadah telah diagihkan kepada orang ramai.
Selain itu, 500 pek bubur pedas turut disumbangkan kepada agensi kerajaan, jabatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ketua masyarakat serta komuniti setempat.
Hadir sama, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang, Ketua Polis Daerah Sri Aman Effei Faes, wakil Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sri Aman Hadi Aiee dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Angela Sulli Edwin. -EDISI UKAS