Cadangan Dewan SK Opar Perkukuh Kemudahan Pendidikan Luar Bandar
BAU: Cadangan pembinaan Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Opar dilihat mampu memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kemudahan seperti dewan sekolah amat penting bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti pendidikan, kokurikulum serta program melibatkan komuniti setempat.
Menurut beliau, pelajar di kawasan luar bandar juga wajar menikmati kemudahan pendidikan yang lebih baik sejajar dengan usaha kerajaan memperkasa pembangunan modal insan.
“Penyediaan dewan sekolah bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar menjalankan aktiviti perhimpunan dan kokurikulum, malah membuka peluang kepada pihak sekolah menganjurkan pelbagai program yang melibatkan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengetuai lawatan tapak bagi meninjau cadangan pembinaan Dewan Serbaguna SK Opar di Kampung Opar pada Rabu.
Sebelum itu, satu majlis penyerahan projek siap Dewan Serbaguna Kampung Opar turut diadakan sebagai simbolik kejayaan pelaksanaan projek pembangunan komuniti di kawasan tersebut.
Dewan bernilai RM450,000 itu dilaksanakan di bawah peruntukan Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) dan siap sepenuhnya selepas kerja pembinaan bermula pada 7 Julai 2025 selesai pada 6 Januari 2026.
Projek tersebut diserahkan kepada Ketua Kaum Kampung Opar, Dewen Giam untuk kegunaan penduduk kampung bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA, Datuk Ik Pahon Joyik, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Bau, Allyson Hilbert, wakil kontraktor, guru-guru SK Opar serta pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS