CENTEXS Mukah Anjur Majlis Iftar, Kukuh Ukhuwah Bersama Komuniti
MUKAH: Program Majlis Iftar anjuran Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Mukah menjadi platform penting dalam memperkukuh ukhuwah serta semangat kebersamaan antara warga institusi itu dan komuniti setempat sempena bulan Ramadan.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni pada Rabu itu diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Syeed Mohd Hussein Wan Abd Rahman.
Turut hadir ialah pelatih, alumni dan warga kerja CENTEXS selain pelajar dari Sarawak Skills yang bersama-sama memeriahkan program berkenaan.
Pada masa sama, majlis tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada jemputan untuk berbuka puasa bersama, malah diteruskan dengan solat tarawih secara berjemaah sekali gus menyemarakkan penghayatan Ramadan.
Program Sumbangan Infaq Qaseh Ramadan turut diadakan dengan bantuan disalurkan kepada 15 keluarga asnaf di beberapa kampung sekitar termasuk Kampung Judan Hulu, Kampung Penat dan Kampung Petanak sebagai usaha membantu meringankan beban golongan memerlukan terutamanya semasa bulan mulia ini.
Ketua Kampus CENTEXS Mukah, Dr Dayang Hanani Abang Ibrahim berkata, CENTEXS akan terus memainkan peranan sebagai pemacu pembangunan tenaga kerja mahir selaras dengan pelan pembangunan Kerajaan Sarawak serta keperluan industri semasa.
"Pada Majlis Konvokesyen ke-10 CENTEXS baru-baru ini, seramai 2,496 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang kemahiran.
"Kampus Mukah mencatatkan jumlah graduan kedua tertinggi iaitu seramai 559 orang," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Tambah beliau, CENTEXS turut menjalinkan kerjasama strategik dengan 14 universiti termasuk University of British Columbia dan Tsinghua University untuk membangunkan program baharu dalam bidang teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan perlombongan hijau.
Dr Dayang Hanani memaklumkan, CENTEXS Mukah menawarkan sebanyak 18 program latihan termasuk bidang baharu termasuk robotik, kenderaan elektrik (EV), tenaga hijau serta inovasi pertanian moden selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dan pembangunan ekonomi masa depan.-EDISI UKAS