31 Rumah di DUN Mambong Dibaik Pulih Melalui PPRMS Bermula April
PADAWAN: Sebanyak 31 buah rumah di kawasan DUN Mambong akan dibaik pulih menerusi Projek Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Fasa 1 Tahun 2026 yang dijadualkan bermula pada April ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap ADUN Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil berkata, projek berkenaan bertujuan membantu meningkatkan keadaan kediaman golongan yang memerlukan, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Cabut Undi Projek PPRMS Fasa 1 Tahun 2026 di sini pada Khamis.
Menurutnya, kerja-kerja baik pulih rumah dijangka dapat dilaksanakan dengan segera selepas kontraktor menerima surat tawaran kerja, dengan tempoh pelaksanaan sekitar dua minggu sehingga siap sepenuhnya bagi setiap projek yang diluluskan.
Dalam masa sama, beliau turut memberi taklimat mengenai penambahbaikan pengurusan serta tatacara baharu pelaksanaan projek PPRMS bagi Fasa 1 Tahun 2026.
Katanya, penambahbaikan tersebut bertujuan memastikan proses pelaksanaan projek berjalan lebih cekap, telus dan teratur sekali gus mempercepatkan bantuan kepada golongan sasar.
Program cabut undi itu diadakan bagi menentukan kontraktor yang akan melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah yang terpilih di kawasan DUN N19 Mambong.
Pelaksanaan projek tersebut diharap dapat membantu memperbaiki keadaan kediaman penerima sekali gus memastikan mereka menikmati persekitaran tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.-EDISI UKAS