Sarawak Teliti Semula Laluan BAS.MY, Cadang Sistem Parkir Bersepadu Seluruh Negeri
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti semula laluan perkhidmatan bas BAS.MY di Kuching bagi meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam, selain mempertimbang pelaksanaan sistem pembayaran parkir bersepadu di seluruh negeri bagi memudahkan orang ramai.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak (SPTC) Bil.1/2026 yang dipengerusikan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin semalam.
Menurut beliau, pemerhatian mendapati jumlah penumpang bagi sebahagian laluan BAS.MY masih rendah walaupun perkhidmatan tersebut telah disediakan, justeru perancangan laluan dan operasi perlu disemak semula agar lebih selari dengan corak perjalanan sebenar pengguna.
“Bagi menggalakkan orang ramai beralih daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam, perkhidmatan yang ditawarkan mestilah mudah, cekap dan selari dengan corak perjalanan sebenar pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak berkuasa berkaitan meneliti semula laluan serta perancangan operasi BAS.MY bagi memastikan perkhidmatan tersebut benar-benar memenuhi keperluan mobiliti rakyat.
Dalam mesyuarat yang sama, beliau turut mencadangkan supaya Sarawak bergerak ke arah pelaksanaan sistem pembayaran parkir bersepadu di seluruh negeri bagi mengatasi kesulitan yang dihadapi orang ramai ketika ini akibat penggunaan aplikasi parkir yang berbeza di setiap bandar.
Menurutnya, pemandu yang melakukan perjalanan antara bandar sering perlu memuat turun atau menggunakan aplikasi parkir yang berlainan, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan kesulitan kepada pengguna.
“Pada masa hadapan, kita harus menyasarkan satu sistem parkir yang boleh digunakan di seluruh Sarawak. Ini akan memudahkan urusan orang ramai,” jelasnya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil serta Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Marin), Datuk Henry Harry Jinep bersama ketua-ketua agensi kerajaan, badan pengawal selia dan pihak berkepentingan industri bagi meneliti pelbagai inisiatif serta perkembangan semasa sektor pengangkutan di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa jawatankuasa tersebut berperanan sebagai platform penting untuk menyelaras dasar, program dan inisiatif pembangunan pengangkutan meliputi sektor darat, sungai dan udara di Sarawak, selaras dengan agenda pembangunan jangka panjang negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata sektor pengangkutan kekal sebagai pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi, keterhubungan wilayah serta peningkatan kualiti hidup rakyat seiring pertumbuhan pesat negeri ini.
Antara cabaran yang dibangkitkan termasuk peningkatan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar utama, keperluan memperkukuh sistem pengangkutan awam serta meningkatkan kecekapan logistik, selain keperluan memodenkan infrastruktur pengangkutan sungai yang masih menjadi penghubung penting bagi banyak komuniti luar bandar.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa keterhubungan udara masih menjadi cabaran apabila Sarawak masih mempunyai jumlah laluan penerbangan antarabangsa terus yang terhad.
Lapangan terbang utama seperti Kuching dan Miri kini beroperasi melebihi kapasiti, manakala beberapa lapangan terbang dan STOLport memerlukan kerja naik taraf serta pemodenan.
Dalam mesyuarat tersebut, ahli jawatankuasa turut diberi taklimat mengenai projek pengangkutan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak.
Turut dibentangkan perkembangan beberapa inisiatif termasuk program pembangunan penerbangan, pelaksanaan program BAS.MY di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, serta pelan pengurusan trafik fasa pembinaan Kuching Urban Transportation System (KUTS) yang dibentangkan oleh Sarawak Metro Sdn Bhd.
Mesyuarat turut menerima pembentangan mengenai inisiatif Smart Parking System (Pay & Go Digitalise Council Parking) oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.-EDISI UKAS