Sejambak Kasih Aidilfitri Bantu 581 Penerima Kebajikan di Dalat
DALAT: Seramai 581 penerima bantuan kebajikan beragama Islam di daerah Dalat menerima sumbangan menerusi program Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2026, sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam membantu golongan memerlukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) itu menyalurkan sumbangan tunai serta hamper kepada penerima bantuan sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan mereka.
"Kita berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan oleh penerima sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2026, di Kompleks Kebajikan Dalat, di sini, pada Khamis.
Dato Sri Fatimah turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun lalu, JKMS telah menyalurkan pembayaran bantuan berjumlah RM23,867,250 kepada kira-kira 4,500 penerima di Bahagian Mukah.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8,162,200 telah disalurkan kepada 1,460 penerima bantuan di daerah Dalat sahaja.
“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, seramai 1,458 penerima di daerah Dalat menerima bantuan daripada pelbagai skim yang disediakan,” jelasnya.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Dalat 2026 Fasa 1 kepada 10 penerima dengan jumlah keseluruhan RM189,000.
Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Dalat, Matthew Hubert.-EDISI UKAS