Sarawak, Batik Air Perkukuh Kesalinghubungan Udara, Teroka Laluan Antarabangsa Baharu
SEPANG: Usaha memperkukuh kesalinghubungan udara ke Sarawak termasuk cadangan menambah penerbangan Batik Air sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri serta penerokaan laluan antarabangsa baharu menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy.
Pertemuan pada Isnin tersebut sekali gus menegaskan komitmen Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Batik Air Malaysia untuk terus bekerjasama dalam meningkatkan kesalinghubungan penerbangan ke Sarawak, menyokong permintaan perjalanan pada musim perayaan serta memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi menarik bagi pelancong domestik dan antarabangsa.
Dato Sri Lee menghadiri mesyuarat tersebut bersama delegasi MOTS yang turut disertai Setiausaha Tetap, Datu Wong Hee Sieng serta Penasihat Teknikal Penerbangan, Sio Yew Hua.
Antara perkara yang dibincangkan ialah penjadualan penerbangan Batik Air ke Sarawak termasuk kemungkinan menambah kekerapan penerbangan semasa tempoh perjalanan puncak seperti musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi menampung peningkatan permintaan penumpang.
Mesyuarat itu turut menyentuh mengenai kadar tambang khas sempena musim perayaan selaras dengan inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke bagi menstabilkan harga tiket penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak semasa tempoh perayaan.
Di bawah inisiatif tersebut, kerajaan menetapkan tambang asas siling sebanyak RM499 bagi penerbangan terpilih sepanjang tempoh perjalanan puncak musim perayaan. Sekiranya harga tiket melebihi kadar tersebut, perbezaannya akan ditanggung oleh kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia yang bekerja jauh dari kampung halaman dapat pulang menyambut perayaan tanpa menanggung kos tambang yang tinggi.
Perbincangan itu turut meneroka potensi pengenalan laluan antarabangsa baharu ke Sarawak termasuk dari Guangzhou, Zhangjiajie dan Kunming yang berpotensi meningkatkan kesalinghubungan serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri ini.
Dalam masa sama, Batik Air Malaysia turut berkongsi perkembangan terkini mengenai penerbangan berjadual sewa khas antarabangsa antara Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun yang dijadual memulakan operasi pada 17 Mac 2026.
Penerbangan tersebut akan beroperasi dua kali seminggu dengan pelepasan dari Kuching ke Guangzhou pada setiap Selasa dan Sabtu, manakala penerbangan pulang dari Guangzhou ke Kuching dijadual pada Rabu dan Ahad.
Penerbangan dari Kuching dijadual berlepas pada jam 10.20 malam waktu tempatan dan tiba di Guangzhou pada jam 2.20 pagi, manakala penerbangan pulang dari Guangzhou berlepas pada jam 3.20 pagi dan tiba di Kuching pada jam 7.20 pagi waktu tempatan.
Selain itu, laluan penerbangan dari Zhangjiajie dan Kunming dijangka diperkenalkan pada tahun ini sekali gus memperkukuh hubungan penerbangan Sarawak dengan China serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan antara kedua-dua destinasi.
Menurut Dato Sri Lee, peningkatan kesalinghubungan udara merupakan langkah penting dalam memperkukuh aksesibiliti Sarawak serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi negeri.
“Penambahbaikan kesalinghubungan udara bukan sahaja meningkatkan mobiliti pelancong malah membantu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan serantau, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Kedua-dua pihak turut membincangkan peluang untuk mempromosikan Sarawak secara lebih aktif dengan menonjolkan keunikan budaya, produk tempatan dan makanan ikonik seperti mee kolok dan laksa Sarawak, selain tarikan utama negeri ini termasuk Gua Mulu dan Gua Niah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Usaha promosi tersebut dijangka melengkapkan kempen pelancongan nasional seperti Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Cuti-Cuti Malaysia dalam menarik lebih ramai pelawat domestik dan antarabangsa ke Sarawak. – EDISI UKAS