DALAT: Kerajaan Sarawak terus komited dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan, termasuk penyaluran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi membantu golongan yang memerlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata SKAS merupakan usaha kerajaan negeri yang berteraskan nilai keprihatinan dan kasih sayang terhadap rakyat.
Menurutnya, inisiatif tersebut diwujudkan bagi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pemberian bantuan kewangan kepada mereka yang layak.
“Kita juga sedia maklum bahawa sumbangan SKAS pada tahun ini telah ditambah berbanding tahun lalu.
“Bantuan yang disalurkan ini selaras dengan keperluan semasa rakyat selain membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKAS Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Khamis.
Beliau dalam pada itu mengingatkan, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat peniaga yang menunaikan bantuan SKAS termasuk menggugurkan mereka daripada menyediakan perkhidmatan S Pay Global.
Manakala, penerima boleh disenarai hitamkan daripada menerima bantuan pada masa akan datang sekiranya didapati menyalahgunakan kemudahan tersebut.
"Saya berharap agar bantuan SKAS ini dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan khususnya dalam membuat persiapan menyambut perayaan yang bakal tiba," tambahnya.
Hadir sama, wakil Residen Bahagian Mukah Josy Demei, Pegawai Daerah Dalat Matthew Hubert, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Dariel Thiong Yiew Seng dan Temenggong Daerah Mukah Hendi Suhai.-EDISI UKAS