Projek Jalan & Jambatan Baharu Perkukuh Akses Perhubungan Di Lundu
LUNDU: Projek Pembinaan Jalan Kampung Kendaie/Selampit yang menelan kos kira-kira RM69.5 juta dijadualkan siap sepenuhnya pada 3 November 2027.
Projek tersebut dilaksanakan secara reka dan bina melibatkan pembinaan kira-kira 12 kilometer jalan premix baharu mengikut piawaian JKR R2.
Skop projek merangkumi kerja reka bentuk, kajian teknikal seperti Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), pembinaan sistem perparitan termasuk pembentung serta longkang tepi jalan, pemasangan perabot jalan dan pembinaan persimpangan bagi memastikan laluan yang lebih selamat serta selesa kepada pengguna.
Dalam masa sama, Projek Pembinaan Jambatan Selampit turut dilaksanakan dengan kos kira-kira RM22.9 juta yang melibatkan pembinaan jambatan konkrit bertetulang sepanjang kira-kira 160 meter bagi menggantikan laluan sedia ada serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Sehingga kini, kemajuan fizikal projek jambatan tersebut telah mencapai sekitar 36.51 peratus dengan beberapa kerja utama seperti pembinaan cerucuk, struktur pier serta kerja konkrit girder sedang giat dilaksanakan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia, Datuk Rubiah Wang telah mengadakan lawatan rasmi ke tapak projek di Kampung Selampit pada Khamis bagi meninjau perkembangan semasa pelaksanaan kedua-dua projek tersebut.
Turut hadir mengiringi lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang dan Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail.
Lawatan berkenaan bertujuan memastikan projek pembangunan infrastruktur luar bandar itu dilaksanakan mengikut perancangan serta memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat, khususnya dalam meningkatkan sistem perhubungan dan kemudahan pengangkutan di kawasan sekitar Lundu.
Apabila siap kelak, projek jalan dan jambatan tersebut dijangka memudahkan pergerakan penduduk, mempercepatkan akses ke kawasan berhampiran serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat di Kampung Kendaie, Kampung Selampit dan kawasan sekitarnya. -EDISI UKAS