Jualan Gedung Raya JUMA’ANI Pavilion Rancakkan Ekonomi Usahawan Tempatan
KUCHING: Penganjuran Jualan Gedung Raya di JUMA’ANI Pavilion, Vista Tunku mampu merancakkan aktiviti ekonomi tempatan di samping memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai keperluan menjelang sambutan Aidilfitri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata program seumpama itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada orang ramai membuat persiapan Hari Raya, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan memperluaskan pasaran produk mereka.
“Program seperti ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu masyarakat yang dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih mudah serta usahawan tempatan yang berpeluang mempromosikan produk mereka kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Jualan Gedung Raya di JUMA’ANI Pavilion, Vista Tunku, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, sambutan positif daripada masyarakat terhadap penganjuran jualan gedung raya tersebut membuktikan program seumpama itu relevan dan wajar diteruskan pada masa hadapan.
“Apabila sambutan masyarakat amat menggalakkan, ia menunjukkan inisiatif seperti ini memberi impak positif kepada komuniti serta pengusaha tempatan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur iaitu CENTEXS Commercial Sarawak atas usaha menganjurkan program tersebut yang disifatkan mampu memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan.
Tambah beliau, kerjasama bersama rakan industri seperti Everrise yang turut mengadakan Jualan Rahmah dari 12 hingga 14 Mac memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan pelbagai barangan keperluan pada harga lebih murah menjelang Aidilfitri.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman, isteri Datuk Dr Abdul Rahman, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Pengurus Besar CENTEXS Commercial Sarawak Mohamad Shahren Mohamad Yusri, Ahli Lembaga Pengarah CENTEXS Commercial Sarawak, Suryani Abdul Hamid, Pengarah Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Sarawak Suwardy Abdul Shukor, wakil kepada Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dr. Nadianatra Musa, Merchandising & Operation Senior Manager Everrise, Jason Lau Ka Mong serta para usahawan. -EDISI UKAS