10 Masjid, Surau Terima Sumbangan Pada Majlis Iftar Perdana UNIMAS 2026
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 10 masjid dan surau di sekitar Kuching, Asajaya dan Simunjan menerima sumbangan daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan warga universiti tersebut sempena Majlis Iftar Perdana UNIMAS 2026 yang berlangsung di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), pada Khamis.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi kepada wakil masjid dan surau yang terlibat.
Antara penerima sumbangan ialah Masjid Darul Ehsan Kampung Belong Asajaya, Masjid Darul Abidin Kampung Tanjung Bako Kuching, Surau Nahdatul Darul Salam Kampung Sungai BA, Surau Darul Iman Kampung Terasi Ulu serta Surau Darul Iman Kampung Hulu Tungkah Melayu Simunjan.
Turut menerima sumbangan ialah Surau Al-Hidayah Kampung Plaie, Surau Darur Rahman RPR Batu Kawa Fasa 4, Surau Nur Iman RPR Taman Sri Permai Landeh, Surau Darul Falah Kampung Semariang Fasa 3 dan Surau Darul Taqwa Kampung Bintawa Ulu.
Majlis tersebut turut diserikan dengan lantunan bacaan al-Quran oleh qari serta persembahan kumpulan Qasidah Ahbab El-Habeeb sebelum diteruskan dengan solat berjemaah.
Hadir sama ke majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit bersama isteri, Profesor Dr. Ramlah Zainudin, ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan, Pengarah-Pengarah serta Ketua Kaum dan Penghulu dari Kawasan Kota Samarahan serta pelajar dan kakitangan UNIMAS.-EDISI UKAS