Mesyuarat ADC Kanowit Selaras Pelaksanaan Projek Pembangunan Daerah
KANOWIT: Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (ADC) Kanowit Bilangan 1/2026 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kanowit baru-baru ini bagi menyelaras pelaksanaan projek pembangunan serta memantau prestasi projek di daerah berkenaan.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kanowit, Cerisologo Sabut yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana dan ADUN Machan Allan Siden Gramong.
Dalam mesyuarat itu, beberapa agensi turut membentangkan taklimat berkaitan pelaksanaan projek dan isu pembangunan di daerah berkenaan.
Antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sibu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sibu, Majlis Daerah Kanowit, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Bahagian Sibu serta Pejabat Kesihatan Daerah Kanowit.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan beberapa isu berbangkit di peringkat daerah serta langkah penyelesaian yang perlu diambil oleh agensi berkaitan.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Sulit kepada Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Donny Niambang serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Petrus Igat Mathias.-EDISI UKAS